Masuk Malaysia Tanpa Rekod: Dua Tentera Asing Ditahan di KLIA

Dua Anggota Tentera Serbia Ditahan di KLIA Disyaki Terlibat Sindiket ‘Fly’


Dua tentera asing berkenaan

SEPANG — Dua anggota tentera warga Serbia ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Disember lalu selepas disyaki memasuki Malaysia secara tidak teratur melalui sindiket dikenali sebagai ‘fly’.


Menurut sumber dipetik Malaysiakini, kedua-dua individu itu dikesan ketika berada di Terminal 1 KLIA untuk menaiki penerbangan ke Istanbul. Pemeriksaan mendapati pasport mereka tidak mempunyai cop masuk terkini, sekali gus menimbulkan kecurigaan pihak berkuasa.


Siasatan awal mendapati mereka dipercayai memasuki negara ini pada 14 November lalu sebelum gagal direkodkan keluar secara sah. Sindiket ‘fly’ merujuk kepada kegiatan penipuan cop keluar dan masuk tanpa kehadiran fizikal individu terlibat.


Kedua-dua lelaki tersebut kini disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) akta sama sebelum ditempatkan di Depot Imigresen bagi siasatan lanjut. Dua laporan polis turut dibuat di Balai Polis KLIA pada hari yang sama.


Bagaimanapun, Ibu Pejabat Polis KLIA enggan mengesahkan laporan polis berkenaan. Sumber turut membangkitkan kebimbangan berhubung tempoh tinggal lebih masa dua anggota tentera asing itu serta persoalan pihak yang didakwa membantu kemasukan mereka ke Malaysia.


Sementara itu, jurucakap AKPS mengesahkan penahanan dua individu terbabit dan memaklumkan bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SIA, GENOVASI meterai MoU lahirkan usahawan berilmu melalui pembelajaran dalam talian

Glow & Grow Duo Jadi Taruhan Kinohimitsu Untuk Keyakinan Diri Musim Perayaan