KPF Makin Kukuh: Pelan Rasionalisasi Buahkan Hasil, RM319 Juta Sudah Dibayar kepada Anggota

 




KPF Makin Kukuh: Pelan Rasionalisasi Buahkan Hasil, RM319 Juta Sudah Dibayar kepada Anggota


KUALA LUMPUR – 16 Mei 2025:
Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) kini berada di landasan kukuh apabila berjaya mencatat prestasi kewangan yang semakin memberangsangkan hasil pelaksanaan pelan rasionalisasi secara berperingkat.

Pengerusi KPF, Dato’ Mohd Banuri Aris berkata, usaha menyeluruh yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu telah membuahkan hasil, dengan matlamat utama untuk memulihkan keyakinan anggota serta memperkukuh kedudukan kewangan koperasi.

“Kami optimis bahawa pendekatan rasionalisasi yang dirangka secara berperingkat serta pemerkasaan struktur pentadbiran dalaman telah membina semula asas kewangan yang kukuh bagi KPF,” katanya dalam sidang media khas, hari ini.

Pelan Rasionalisasi Aset Fokus Pulangan Mampan

Pelan Rasionalisasi Aset Pelaburan KPF melibatkan tiga langkah utama iaitu penjualan aset perladangan tertentu menjelang suku keempat 2025, pelupusan hartanah yang tidak memberikan pulangan mampan serta penstrukturan semula pegangan dalam syarikat bersekutu.

Langkah ini bukan sahaja menjana semula aliran tunai, malah membuka laluan kepada model perniagaan lebih lestari.

RM319 Juta Telah Dibayar Kepada Anggota

Mengulas isu pengeluaran syer, Dato’ Mohd Banuri mendedahkan bahawa dari tahun 2022 hingga April 2025, sebanyak 29,159 permohonan pengeluaran syer diterima dengan nilai keseluruhan mencecah RM691.58 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak 18,783 permohonan melibatkan RM319.44 juta telah dibayar sepenuhnya kepada anggota.

“Permohonan yang masih dalam proses akan diselesaikan secara berfasa, dengan keutamaan kepada kes kritikal seperti perubatan, haji, umrah dan pendidikan,” ujarnya lagi.

FELDA Pemangkin Kekuatan KPF

KPF turut merakamkan penghargaan kepada FELDA khususnya kepada Pengerusinya, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek atas kepercayaan dan sokongan strategik yang diberikan termasuk pelantikan KPF sebagai ejen tunggal pembelian Buah Tandan Segar (BTS) dan pengurusan Pusat Mengumpul Sawit (PMS).

Sejak penubuhannya pada tahun 1980, KPF tidak pernah mencatatkan kerugian, satu pencapaian yang menjadi bukti kepada kecekapan tadbir urus dan asas ekonomi yang kukuh.

Anggota Diseru Bersama Bangkit

Dato’ Mohd Banuri turut menyeru seluruh anggota untuk terus menyokong agenda pemulihan koperasi.

“Sokongan anggota, khususnya peneroka yang setia bersama KPF adalah nadi kekuatan kami. Kita akan bangkit bersama menuju masa depan yang lebih gemilang,” katanya menutup sidang media.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Masuk Malaysia Tanpa Rekod: Dua Tentera Asing Ditahan di KLIA

SIA, GENOVASI meterai MoU lahirkan usahawan berilmu melalui pembelajaran dalam talian

Glow & Grow Duo Jadi Taruhan Kinohimitsu Untuk Keyakinan Diri Musim Perayaan