Sokong ketegasan kerajaan hentikan E Hailing luar: MyCar sokong, minta utamakan aplikasi tempatan
Sokong ketegasan kerajaan hentikan E Hailing luar: MyCar sokong, minta utamakan aplikasi tempatan
KUALA LUMPUR, 1 Julai 2025 – Syarikat e-hailing tempatan MyCar tampil dengan rayuan terbuka kepada kerajaan dan rakyat Malaysia agar memberi sokongan penuh kepada platform tempatan, susulan pengumuman penamatan operasi dua syarikat e-hailing luar negara yang bakal berkuat kuasa pada 24 Julai ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCar, Datuk Noor Sheena berkata sudah tiba masanya kerajaan memberi keutamaan kepada aplikasi tempatan yang dimiliki dan diusahakan oleh rakyat Malaysia sendiri.
“Kami bukan pendatang baru dalam industri ini. MyCar telah wujud sejak 2018 dan merupakan satu-satunya syarikat e-hailing milik rakyat Malaysia sepenuhnya. Kami patuh kepada semua garis panduan – PSB, EVP, cukai, dan kebajikan pemandu,” tegasnya.
Beliau turut melahirkan rasa kecewa apabila syarikat luar diberi peluang berulang kali meskipun sering melanggar peraturan, manakala MyCar belum pernah menerima sebarang bantuan rasmi dari pihak kerajaan.
Sementara itu, Pendaftar Pemandu MyCar, En. Ramesh menyeru lebih ramai anak muda tempatan menyertai platform tersebut yang menurutnya bukan sekadar satu aplikasi, tetapi satu keluarga.
“Saya bersama MyCar sejak 2018 dan kekal setia kerana budaya kekeluargaan yang dibawa sejak dari awal lagi penubuhan. MyCar bantu pemandu tanpa mengira bangsa, malah menjaga kebajikan mereka yang sakit atau susah,” kata Ramesh penuh semangat.
Beliau juga memberi peringatan kepada para pemandu MyCar agar sentiasa aktif menggunakan aplikasi dan menyambut permintaan pelanggan demi menjaga keyakinan pengguna terhadap platform tempatan.
“Kalau kita tak online, bagaimana pelanggan nak yakin? Jangan biar pelanggan tolak MyCar hanya kerana tiada respons dari kita,” katanya yang turut berkongsi kisah menerima tempahan sejauh Genting Highlands demi menjaga imej syarikat.
MyCar kini berharap agar langkah kerajaan menyekat syarikat asing akan membuka lembaran baharu buat aplikasi tempatan untuk berkembang, serta memberi peluang kepada rakyat Malaysia menguasai semula industri e-hailing negara.
#MyCarMilikKita #SokongTempatan #AnakMudaBangkit #EhalilingMalaysia #KeluargaMyCar
Ulasan
Catat Ulasan