YWP Salur RM70,300 Bantuan Awal IPT dan Khairat Kematian
KUALA LUMPUR, 20 Ogos 2025 – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini menganjurkan Majlis Penyampaian Cek Skim Bantuan Awal IPTA & IPTS dan Skim Khairat Kematian YWP 2025 di Dewan Masjid Jamek Kampung Baru.
Majlis disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Dr. Abdul Basir V. Kunhimohamed bersama Puan Nur Jalilah Md. Joha, wakil Datuk Bandar DBKL.
Pada tahun ini, sebanyak RM70,300 diagihkan kepada penerima manfaat, termasuk 79 pelajar di bawah Skim Bantuan Awal IPT (RM55,300) dan 15 penerima Skim Khairat Kematian (RM15,000).
Sejak diperkenalkan pada 2014, Skim Bantuan Awal IPT telah membantu lebih 5,291 pelajar dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan jumlah keseluruhan melebihi RM3.4 juta. Sementara itu, Skim Khairat Kematian menyediakan bantuan segera bagi meringankan beban kewangan keluarga yang kehilangan ahli tersayang.
Menurut YWP, inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha memperkasa masyarakat melalui pendidikan dan kebajikan, selain memastikan bantuan diagihkan secara telus kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Majlis turut diakhiri dengan penyerahan cek bantuan serta sesi ramah mesra bersama penerima.
Ulasan
Catat Ulasan