600 Pelajar B40 Mulakan Sesi Persekolahan Dengan Senyuman, Hasil Bantuan YWP dan Eco-Shop
KUALA LUMPUR, 15 Disember 2025 – Seramai 600 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di Kuala Lumpur menerima suntikan sokongan penting bagi memulakan sesi persekolahan baharu apabila Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bersama Eco-Shop Malaysia menyalurkan bantuan Kembali ke Sekolah bernilai keseluruhan RM120,000.
Menerusi inisiatif yang disokong Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) itu, setiap pelajar menerima baucar Eco-Shop bernilai RM50 untuk pembelian barangan sekolah, selain bantuan tunai RM150 yang disalurkan ke akaun PIBG sekolah bagi menampung keperluan yuran dan aktiviti kokurikulum.
Majlis penyerahan bantuan yang berlangsung di Mayor’s Courtyard, Rumah Tangsi menyaksikan kehadiran 150 pelajar sekolah rendah dan menengah bersama guru pengiring dari 30 buah sekolah, sekali gus mencerminkan keperluan sokongan segera kepada keluarga B40 yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.
Sebagai pelengkap, Eco-Shop turut meneruskan kempen Riang Ria Hari Sekolah sehingga 11 Januari 2026, bagi membantu lebih ramai ibu bapa membuat persiapan persekolahan anak-anak dengan kos yang lebih berpatutan.



Ulasan
Catat Ulasan