Aktivis SBKN Serah Memorandum Kepada Bank Negara Berhubung Dakwaan Penipuan Skim Insurans

AICB, KUALA LUMPUR, 11 Dis — Aktivis sosial, Datuk Dr. Kalaivanar dari Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara hari ini hadir ke Bangunan AICB, bersebelahan Bank Negara Malaysia, bagi menyerahkan satu memorandum berkaitan aduan seorang mangsa, Mr. Saravanan, berhubung dakwaan salah laku staf sebuah bank swasta.

Menurut beliau, memorandum tersebut diserahkan kepada Gabenor Bank Negara Malaysia serta Financial Market Ombudsman Service (FMOS) bagi mendesak satu siasatan terperinci terhadap dakwaan penipuan melibatkan seorang kakitangan di sebuah cawangan bank di Bandar Puteri.


Kes tersebut membabitkan simpanan tetap berjumlah RM30,000 milik Saravanan yang disimpan sejak 2018. Mangsa mendakwa telah dipujuk untuk menandatangani satu dokumen tanpa penjelasan yang jelas, dan kemudiannya mendapati wang tersebut sebenarnya dipindahkan ke sebuah skim insurans, bukan pelaburan deposit tetap, seperti yang difahaminya.

“Beliau tidak mahir membaca dan menulis, dan saya percaya staf berkenaan telah memperdayakan mangsa,” kata Datuk Dr. Kalaivanar. Beliau turut memaklumkan bahawa mangsa telah membuat laporan polis, namun sehingga kini pihak bank masih gagal menyelesaikan isu tersebut meskipun tempoh 14 hari telah diberi untuk membuat penjelasan.

Dalam pertemuan hari ini, dua pegawai Bank Negara iaitu Puan Nurhati binti Yusuf dan Mohd Aizad Edi menerima memorandum tersebut dan memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan mengikut prosedur, dijangka mengambil masa sekitar sebulan.

“Kita mohon polisi insurans itu dibatalkan kerana mangsa langsung tidak dimaklumkan. Dia hanya tahu mengenai simpanan tetap, bukan insurans,” tegas Dr. Kalaivanar.

Beliau menambah bahawa mangsa kini berada dalam keadaan trauma kerana bimbang kehilangan keseluruhan simpanannya, malah dimaklumkan perlu membayar tambahan RM30,000 bagi mengelakkan polisi insurans itu ‘lapse’.

“Saya dapati modus operandi yang berlaku ini tidak wajar. Ia memanipulasi mangsa dan mempergunakan ketidaktahuan mereka,” ujar beliau.


Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara akan memantau perkembangan kes ini dan menunggu maklum balas rasmi daripada Bank Negara serta FMOS.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Masuk Malaysia Tanpa Rekod: Dua Tentera Asing Ditahan di KLIA

SIA, GENOVASI meterai MoU lahirkan usahawan berilmu melalui pembelajaran dalam talian

Glow & Grow Duo Jadi Taruhan Kinohimitsu Untuk Keyakinan Diri Musim Perayaan