AKTIVIS SERAH MEMORANDUM MOHON KEPRIHATINAN HAKIM BESAR MALAYA ISU PERINTAH PENJAGAAN BAYI



KUALA LUMPUR — Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Hakim Besar Malaya, Datuk Hashim bin Hamzah, bagi memohon keprihatinan secara ex parte agar prosedur perintah penjagaan bayi berusia dua tahun dikaji semula.

Aktivis sekretariat berkenaan, Datuk Dr. Kalaivanar berkata, memorandum tersebut diserahkan pada jam 11.22 pagi di Istana Kehakiman, Putrajaya, susulan dakwaan salah laku serius melibatkan dokumen afidavit dan perintah penjagaan bayi yang diperoleh tanpa pengetahuan serta kehadiran ibu kandung.

Menurut beliau, mangsa yang menetap di Sungai Petani mendakwa afidavit telah difailkan ke mahkamah tanpa ditandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah, malah dipercayai ditandatangani oleh pihak lain tanpa kebenaran.

“Ini satu kesalahan besar kerana seseorang tidak boleh bersumpah tanpa hadir sendiri di hadapan Pesuruhjaya Sumpah. Mangsa berada di Sungai Petani pada tarikh dokumen itu dikatakan ditandatangani di Selangor,” katanya dalam sidang media.

Tambah beliau, kekeliruan kandungan dokumen tersebut dipercayai telah menyebabkan perintah penjagaan bayi (custody order) secara ex parte berpihak kepada suami mangsa, sedangkan pasangan itu masih berstatus suami isteri tetapi tinggal berasingan.

Datuk Dr. Kalaivanar turut menyuarakan kebimbangan apabila mangsa tidak diberi peluang bercakap semasa prosiding di Mahkamah Tinggi Johor pada 8 Disember lalu dan diarahkan menjalani sesi kaunseling psikiatri bersama bayinya.

“Bayi itu baru berusia dua tahun. Ibu ini menjaga anak sejak lahir dan tiada tanda masalah mental seperti yang didakwa. Arahan sedemikian amat membebankan emosi ibu dan anak,” katanya.

Beliau menegaskan pihaknya tidak mempertikaikan kedaulatan undang-undang atau keputusan mahkamah, sebaliknya merayu jasa baik Hakim Besar Malaya agar meneliti semula prosedur kes demi keadilan dan kepentingan terbaik bayi.

Dalam sidang media sama, ibu bayi tersebut menyatakan beliau merupakan penjaga utama anaknya sejak lahir dan berharap haknya sebagai ibu dapat dipertimbangkan secara adil.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Masuk Malaysia Tanpa Rekod: Dua Tentera Asing Ditahan di KLIA

SIA, GENOVASI meterai MoU lahirkan usahawan berilmu melalui pembelajaran dalam talian

Glow & Grow Duo Jadi Taruhan Kinohimitsu Untuk Keyakinan Diri Musim Perayaan