Ibrahim Ali Dakwa Kuasa Negara Terlalu Tertumpu Kepada Perdana Menteri, Cadang Reformasi Parlimen Menyeluruh

 KUALA LUMPUR — Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, mendakwa sistem pemerintahan negara ketika ini bersifat autoritarian walaupun Malaysia mengamalkan Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Menurut beliau, realiti sebenar menunjukkan kuasa negara terlalu tertumpu kepada Perdana Menteri, sekali gus menjejaskan prinsip semak dan imbang antara institusi utama negara.


“Walaupun kita ada Parlimen dan pelbagai institusi, hakikatnya kuasa sebenar hanya terletak pada Perdana Menteri. Banyak perkara mesti melalui Perdana Menteri dan dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diterima,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr. Ibrahim turut mempersoalkan peranan Yang di-Pertuan Agong yang menurutnya mempunyai kuasa terhad dalam beberapa pelantikan penting, kecuali dalam keadaan tertentu seperti pelantikan Perdana Menteri yang memerlukan tiga nama untuk dipilih.

“Kalau hanya satu nama dibawa, di mana pilihan Agong? Di mana kuasa sebenar? Di mana semak dan imbang?” soalnya.

Beliau juga mendakwa kebanyakan Ahli Parlimen dan pemegang jawatan penting gagal melaksanakan tanggungjawab sebenar yang telah diikrarkan kerana didakwa lebih takut kepada kuasa politik berbanding amanah sumpah jawatan.

“Mereka takut kepada Perdana Menteri lebih daripada takut kepada Allah. Tidak berani menegur atau mengundi menentang kerana kuasa pertukaran jawatan dan imbuhan berada di tangan Perdana Menteri,” katanya.

Mengulas isu usul tidak percaya, Dr. Ibrahim berkata sistem sedia ada menyukarkan usaha tersebut kerana tertakluk kepada budi bicara Speaker Dewan Rakyat.

“Usul tidak percaya hanya boleh dibahas jika Speaker bersetuju. Jika Speaker tidak setuju, usul itu mati begitu sahaja. Maka Speaker akan dilatih supaya patuh kepada Perdana Menteri,” dakwanya.

Sehubungan itu, beliau mengemukakan cadangan agar peraturan Parlimen dipinda dan dimasukkan ke dalam Perlembagaan, khususnya berkaitan usul percaya dan tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Antara cadangan utama beliau ialah mewajibkan setiap usul percaya atau tidak percaya yang dibawa oleh Ahli Parlimen diterima secara automatik tanpa tertakluk kepada keputusan Speaker, serta mewajibkan pengundian dibuat secara sulit.

“Jika undi dibuat secara terbuka, siapa yang berani? Yang mereka nampak ialah menteri, projek dan imbuhan. Undi sulit sahaja boleh menjamin kebebasan sebenar Ahli Parlimen,” katanya.

Menurut beliau, hanya melalui perubahan menyeluruh terhadap peraturan Parlimen dan reformasi institusi, barulah dapat ditentukan sama ada seseorang Perdana Menteri benar-benar mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Dr. Ibrahim turut mengkritik kelewatan kerajaan melaksanakan pemisahan institusi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara, yang menurutnya sering diumumkan tetapi gagal direalisasikan.

“Janji reformasi institusi ini telah berulang kali disebut, namun sehingga kini masih belum dilaksanakan,” katanya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Masuk Malaysia Tanpa Rekod: Dua Tentera Asing Ditahan di KLIA

SIA, GENOVASI meterai MoU lahirkan usahawan berilmu melalui pembelajaran dalam talian

Glow & Grow Duo Jadi Taruhan Kinohimitsu Untuk Keyakinan Diri Musim Perayaan