Isu Addendum: Ibrahim Ali Dakwa pelik dan mengelirukan, Persoal Keabsahan Pengampunan Anwar
KUALA LUMPUR — Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali secara terbuka mempersoalkan keabsahan pengampunan yang diterima Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil mendakwa wujud percanggahan dan standard berganda dalam pengendalian isu addendum melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau menyifatkan kes addendum sebagai “pelik dan mengelirukan”, khususnya apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa pengampunan Anwar diberikan melalui satu perwatikahan yang diterima tanpa melalui proses Mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Menurut Ibrahim Ali, Dr. Mahathir sendiri mengakui tidak merujuk perwatikahan tersebut kepada mana-mana pihak kerana Peguam Negara dan Menteri Wilayah ketika itu belum dilantik.
“Jika pengampunan diberikan tanpa melalui musyawarah Lembaga Pengampunan, maka persoalannya jelas — adakah pengampunan itu sah dari segi perlembagaan?” soalnya.
Beliau menegaskan bahawa isu tersebut bukan soal politik, sebaliknya melibatkan prinsip undang-undang dan keadilan yang sepatutnya diterapkan secara sama rata.
Dalam masa sama, Ibrahim Ali merujuk kepada tindakan undang-undang oleh aktivis Waytha Moorthy yang memfailkan kes mencabar kelayakan Anwar bertanding dalam pilihan raya, meskipun menerima pengampunan.
Katanya, kajian yang dibuat mendapati pengampunan tersebut tidak secara automatik mengecualikan tempoh larangan lima tahun seperti diperuntukkan undang-undang, melainkan dinyatakan secara jelas.
“Kes ini akan didengar pada 27 Januari oleh hakim yang sama yang memutuskan Datuk Seri Najib tidak layak menjalani tahanan rumah kerana addendum kononnya tidak dibawa ke Lembaga Pengampunan,” katanya.
Ibrahim Ali mendakwa keadaan itu menimbulkan persoalan besar apabila satu pihak dikatakan gagal kerana isu prosedur, manakala pihak lain pula menerima pengampunan walaupun proses yang sama tidak dipatuhi.
“Addendum Najib dikatakan tidak sah kerana tidak dibincangkan, tetapi pengampunan Anwar pula diterima walaupun tanpa mesyuarat. Ini bukan lagi soal tafsiran, ini soal keadilan,” tegasnya.
Beliau menuntut penjelasan menyeluruh bagi mengelakkan keyakinan rakyat terhadap institusi perundangan dan sistem pengampunan negara terus terhakis.

Ulasan
Catat Ulasan