Konvensyen 153 Seru Penyatuan Melayu Rentas Parti, Pertahan Hak Perlembagaan
KUALA LUMPUR, 13 Disember 2025 — Konvensyen 153 Melayu Bersatu yang berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman hari ini menegaskan keperluan penyatuan orang Melayu merentas perbezaan parti politik bagi memperkukuh kedudukan bangsa dan hala tuju negara.
Peguam dan aktivis, Rafique Rashid Ali, berkata suara peserta dari lantai konvensyen jelas menunjukkan tuntutan agar semua parti politik Melayu mengetepikan perbezaan kecil sesama pemimpin dan sebaliknya menyatukan kekuatan orang Melayu dari peringkat akar umbi. Menurut beliau, resolusi yang diluluskan merupakan langkah penting ke arah pembentukan kesatuan politik Melayu, termasuk usaha membawa suara tersebut kepada Majlis Raja-Raja Melayu untuk dipertimbangkan demi kepentingan bangsa dan negara.
Sementara itu, Datuk Zuraida Kamaruddin menegaskan bahawa kefahaman terhadap Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan masih belum benar-benar dihayati secara menyeluruh, khususnya dalam kalangan orang Melayu sendiri. Sehubungan itu, beliau memperkenalkan pendekatan “Melayu 153” sebagai identiti dan naratif perjuangan yang akan dibawa ke peringkat akar umbi bagi memberi penerangan tentang peranan Perkara 153 sebagai pelindung hak orang Melayu di bawah naungan Raja-Raja Melayu. Menurut beliau, peruntukan tersebut perlu dimanfaatkan secara berhemah untuk memastikan orang Melayu tidak terus terpinggir, hak mereka tidak terhakis serta kedudukan yang sewajarnya dalam negara ini terus dipertahankan, sambil menegaskan prinsip keadilan terhadap kaum lain mesti kekal berlandaskan saling menghormati.
Dalam pada itu, seorang peserta bukan Melayu, Mike, menyatakan sokongan terbuka terhadap usaha mempertahankan hak orang Melayu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Beliau menegaskan bahawa kestabilan dan kekuatan orang Melayu akan menjamin keharmonian semua kaum, serta menyatakan kesediaannya untuk berdiri bersama orang Melayu dalam mempertahankan hak yang termaktub di bawah Perkara 153.
Konvensyen yang dianjurkan oleh Sekretariat Orang Melayu itu turut memaklumkan bahawa semua resolusi yang dicapai akan dibawa ke peringkat seterusnya, termasuk pembentangan kepada pihak berkaitan, dengan perkembangan lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa.




Ulasan
Catat Ulasan