KPFB Umum Dividen 15 Peratus, Elaun Kehadiran RM1,000 Pada MAP Ke-43
KUALA LUMPUR, 17 Disember 2025 – Koperasi Peserta-Peserta FELCRA Malaysia Berhad (KPFB) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara koperasi elit negara apabila mengumumkan agihan dividen berasaskan operasi sebanyak 15 peratus bagi tahun kewangan 2025, selain menetapkan elaun kehadiran RM1,000 kepada para perwakilan.
Pengumuman tersebut dibuat sempena Majlis Makan Malam Mesyuarat Agung Perwakilan (MAP) KPFB Kali Ke-43 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam ini, dan telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Pada majlis sama, turut disaksikan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) strategik, masing-masing antara KPFB dengan Koperasi Permodalan FELDA Malaysia serta KPFB dengan FELCRA Food Industries Sdn. Bhd., sebagai langkah memperkukuh kerjasama perniagaan dan memperluas jaringan ekonomi koperasi luar bandar.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid menegaskan bahawa kejayaan koperasi perlu diukur berdasarkan manfaat sebenar yang dirasai oleh ahli, bukan sekadar prestasi kewangan di atas kertas. Menurut beliau, agihan dividen 15 peratus itu mencerminkan keupayaan KPFB untuk terus memberikan pulangan yang adil, mampan dan berterusan kepada anggotanya, selari dengan gagasan Malaysia MADANI.
Sementara itu, Pengerusi FELCRA Berhad, YBhg. Dato’ Sri Ahmad Jazlan Yaakub, menyifatkan KPFB sebagai model koperasi berdaya saing yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan perniagaan dan tanggungjawab sosial. Sehingga kini, KPFB telah menyalurkan lebih RM20 juta dividen kepada koperasi-koperasi peserta FELCRA di bawah naungannya.
Prestasi cemerlang KPFB turut diiktiraf apabila dianugerahkan Status Koperasi Premier 2025 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia, sekali gus membuktikan koperasi mampu berfungsi sebagai jentera pemacu ekonomi rakyat apabila ditadbir secara profesional, berdisiplin dan berintegriti.




Ulasan
Catat Ulasan