Memorandum Diserah Kepada IGP, Gesa Siasatan Kes Salah Laku Pastor Perempuan

KUALA LUMPUR, 18 Disember 2025 — Satu memorandum mendesak siasatan semula kes dakwaan salah laku seorang pastor perempuan telah diserahkan kepada Ketua Polis Negara (IGP) hari ini di hadapan pintu masuk Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman.


Memorandum tersebut disampaikan oleh Pembantu Peribadi kepada aktivis sosial, Datuk Dr. Kalaivanar, bersama mangsa, dan diterima oleh ASP Zul Hemli Abu Bakar dari Urus Setia Perhubungan Bukit Aman bagi pihak IGP, Tan Sri Mohd Khalid Ismail.


Menurut Datuk Dr. Kalaivanar, memorandum itu antara lain memohon agar pihak polis, khususnya IGP, membuka semula kertas siasatan berkaitan dakwaan salah laku seorang pastor perempuan berusia sekitar 50-an terhadap seorang mangsa wanita yang kini berusia 28 tahun. Mangsa mendakwa kejadian berkenaan berlaku sejak beliau berusia 21 tahun dan melibatkan hubungan intim sejenis yang didakwa berlaku di bawah pengaruh serta manipulasi kepercayaan agama.


Beliau berkata, mangsa telah membuat laporan polis pada 24 September 2025, namun sehingga kini mendakwa tiada tindakan tegas diambil terhadap individu yang dituduh. Memorandum itu turut menyentuh dakwaan bahawa suspek telah dibawa keluar dari kawasan Rawang ke Johor selepas isu tersebut tular di media sosial.



Selain itu, memorandum berkenaan juga memohon agar pihak polis menyiasat semula tindakan pegawai penyiasat yang mengendalikan laporan awal mangsa. Menurut dakwaan, rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah tidak diambil sepenuhnya dan mangsa tidak menandatangani kenyataan tersebut, selain mendakwa berlaku kelewatan serta ketidakaturan sepanjang proses siasatan.

Datuk Dr. Kalaivanar menegaskan pihaknya menghormati PDRM, namun menggesa siasatan peringkat atasan dilakukan secara telus dan profesional demi keadilan kepada mangsa serta bagi menjaga kepercayaan orang ramai terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang.

Beliau turut menyatakan mangsa bersedia tampil memberi kerjasama penuh sekiranya kes tersebut dibuka semula dan siasatan lanjut dijalankan.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Masuk Malaysia Tanpa Rekod: Dua Tentera Asing Ditahan di KLIA

SIA, GENOVASI meterai MoU lahirkan usahawan berilmu melalui pembelajaran dalam talian

Glow & Grow Duo Jadi Taruhan Kinohimitsu Untuk Keyakinan Diri Musim Perayaan