PUTRA Label Rombakan Kabinet Sebagai “Kabinet Bendera Putih”

KUALA LUMPUR, 18 Disember 2025 – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menyifatkan rombakan kabinet terbaharu kerajaan sebagai “Kabinet Bendera Putih”, yang didakwa berlaku akibat tekanan politik dan bukannya keperluan pentadbiran negara.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali, dalam satu kenyataan media hari ini mendakwa rombakan tersebut mencerminkan penyerahan kuasa Perdana Menteri kepada ugutan pihak tertentu, khususnya DAP, demi mengekalkan kedudukan politik.

Menurut beliau, tiada krisis nasional atau bencana besar yang memaksa perubahan kabinet, sebaliknya perubahan berlaku susulan tekanan politik sehingga melibatkan kementerian strategik termasuk Wilayah Persekutuan dan agama.

PUTRA turut mempersoalkan pengguguran beberapa menteri tertentu, sambil mendakwa terdapat menteri lain yang dikekalkan walaupun berdepan isu prestasi dan kontroversi. Dalam masa sama, Ibrahim mengkritik sikap UMNO yang didakwa memilih untuk berdiam diri walaupun beberapa kementerian berkaitan kepentingan Melayu berpindah tangan.

“Dalam politik, diam bukan kebijaksanaan, sebaliknya tanda persetujuan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa pentadbiran yang ditadbir atas dasar tekanan dan ugutan akan terus menggadaikan kepentingan nasional atas nama kestabilan politik. PUTRA juga mengingatkan bahawa rakyat, khususnya orang Melayu, tidak melupakan tindakan pemimpin yang menurutnya mengorbankan prinsip demi kuasa.

Dalam kenyataan sama, PUTRA menyeru ahli-ahli parti Melayu dalam kerajaan agar menilai semula kesetiaan mereka terhadap kepimpinan sedia ada, sambil menegaskan bahawa meninggalkan kepimpinan yang menipu bukan satu bentuk pengkhianatan.


(kenyataan asal)


KENYATAAN MEDIA

PRESIDEN PUTRA

18 Disember 2025


ROMBAKAN KABINET BENDERA PUTIH

1. PUTRA tidak berminat bermain ayat manis atau analisis akademik. Rombakan kabinet terbaru ini adalah Kabinet Bendera Putih, kabinet yang menyerah jiwa dan raga demi mengekalkan kedudukan seorang Perdana Menteri. Tidak pernah berlaku dalam sejarah sesebuah bangsa, bangsa itu kalah dengan menyerah secara sukarela oleh seorang pemimpin yang dayus. Bercakap besar, tetapi rupanya tikus. Ini bukan rombakan pentadbiran. Ini penyerahan kuasa secara terbuka. Persoalan sebenar bukan siapa yang dilantik, tetapi siapa yang memberi arahan dan siapa yang tunduk.

2. Fakta asasnya mudah, DAP mengugut, dan kabinet berubah. Tiada kebakaran, tiada bencana nasional, tiada krisis mendesak. Yang ada cuma ancaman politik, dan ancaman itu terus dibayar dengan kementerian strategik.

Kementerian Wilayah Persekutuan, yang mengawal ibu kota Kuala Lumpur dan Putrajaya, jatuh dengan mudah seperti jatuhnya Sultan Melaka suatu ketika dahulu. Pulau Pinang sudah lama jatuh. Gabungan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Kerajaan Tempatan, yang menguasai bandar-bandar dan majlis daerah, kini tersungkur. Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaliha, digugurkan sebagai simbol penyerahan kalah. Menteri Agama, Datuk Naim, pula ditarik tauliah tanpa sebarang “kad merah”. Sebaliknya, mereka yang memiliki “kad merah” dikekalkan walaupun prestasi di tahap longkang dan sarat dengan kontroversi. Tahniah kepada Menteri Pendidikan, Menteri Pertanian dan Menteri Pelancongan. Anda bertiga memang hebat luar biasa.

3. PUTRA bertanya terus tanpa berselindung, sejak bila ugutan menjadi manual rasmi pembentukan kabinet negara? Jika jawapannya “tidak”, maka Perdana Menteri wajib menjelaskan mengapa setiap kali DAP meninggikan suara, kerajaan segera tunduk dan menyusun kuasa mengikut nafsu DAP.

4. Lebih memalukan, UMNO parti yang kononnya pejuang Melayu, membisu seperti penonton. Kementerian yang mengawal ekonomi rakyat bawahan, perumahan, wilayah dan usahawan Melayu berpindah tangan, tetapi UMNO memilih untuk senyap. Dalam politik, diam bukan kebijaksanaan. Diam ialah persetujuan pengecut. 

Timbalan Presiden UMNO yang berkelulusan akauntan, bekas CEO Melayu pertama menerajui Mercedes-Benz dan bekas Menteri Besar, ditugaskan sebagai Menteri Luar. Ini kerana Presiden UMNO takut dicabar oleh Timbalan Presidennya sendiri. Menteri untuk berdepan isu ART pula diserahkan kepada Naib Presiden UMNO.

5. Jangan menipu rakyat dengan alasan “strategi”. Apabila Presiden UMNO diam dalam isu sebesar ini, mesejnya jelas, jawatan lebih penting daripada maruah, kuasa lebih bernilai daripada prinsip. Nakhoda UMNO hari ini bukan lagi panglima perang atau benteng bangsa, tetapi sekadar tangga untuk orang lain menjajah bangsa sendiri dengan mudah.

6. Apabila sebuah parti memiliki hak veto secara senyap terhadap kabinet, Perdana Menteri tidak lagi memimpin, dia cuma mengurus tekanan. Mandat rakyat tinggal hiasan, sementara ugutan menjadi kompas. Ini bukan kepimpinan. Ini pentadbiran dayus, bukan kehebatan yang ditonjolkan melalui retorik siang dan malam.

7. Hari ini kabinet berubah kerana DAP mengugut. Esok dasar berubah kerana tekanan. Lusa, kepentingan nasional dikompromi atas nama “kestabilan”. Negara yang ditadbir dengan rasa takut akan sentiasa menggadaikan masa depan untuk menyelamatkan hari ini.

8. PUTRA ingin mengingatkan PMX dan Presiden UMNO, orang Melayu tidak bodoh. Mereka melihat, menyimpan dan mengingati. Kesabaran bukan keampunan.

Sejarah pilihan raya tidak ditulis oleh sidang media, tetapi oleh ingatan pengundi yang pernah dikhianati.

9. Sejarah negara ini kejam terhadap pemimpin yang mengekalkan kuasa dengan menjual prinsip. Mereka mungkin kekal seketika, tetapi akhirnya akan kehilangan kedua-duanya, kuasa dan maruah. Ini bukan ugutan. Ini rekod sejarah yang berulang.

10. PUTRA menegaskan kepada orang Melayu dalam UMNO, PH dan mana-mana parti, keluar daripada kepimpinan yang menipu bukan pengkhianatan, tetapi pembetulan. Yang khianat ialah mereka yang menjadikan kesetiaan anda sebagai perisai untuk menyelamatkan kerusi sendiri. PUTRA tidak bertanya dari parti mana anda datang, tetapi berapa lama lagi anda sanggup ditipu atas nama disiplin dan kesetiaan palsu. Masih ada parti lain. 

Pintu terbuka luas, bukan untuk pelarian politik, tetapi untuk orang Melayu yang sedar, berani dan enggan terus diperalat. Dalam PUTRA, anda tidak diminta membuang prinsip lama, sebaliknya mengambil semula prinsip yang telah dicuri oleh pemimpin anda sendiri.

11. PMX tunduk kepada agenda ART Trump sama ada kerana mengejar glamor, atau kerana memang menjadi budak suruhan Amerika. Dalam masa yang sama, PMX tunduk kepada DAP demi mengekalkan kuasa yang parti sendiri tidak memiliki majoriti.

Inilah Demokrasi Terpimpin yang mempersendakan rakyat. Tunggu, sejarah akan berulang.


Dato’ Ibrahim Ali

Presiden Parti PUTRA


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Masuk Malaysia Tanpa Rekod: Dua Tentera Asing Ditahan di KLIA

SIA, GENOVASI meterai MoU lahirkan usahawan berilmu melalui pembelajaran dalam talian

Glow & Grow Duo Jadi Taruhan Kinohimitsu Untuk Keyakinan Diri Musim Perayaan