TIGA TOKOH SERU PERPADUAN MENJELANG KONVENSYEN MELAYU 153
TIGA TOKOH SERU PERPADUAN MENJELANG KONVENSYEN MELAYU 153
Kuala Lumpur, 13 Disember 2025 – Antara Tiga tokoh utama, Tan Sri Dr. Rais Yatim, Bibi Sunita (NGO Negarawati Tanahair) dan Datuk Marzuki selaku Setiausaha Konvensyen Melayu 153, tampil memberikan komitmen penuh bagi menjayakan Konvensyen Melayu 153 yang bakal berlangsung pada 13 Disember 2025, bertempat di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang bermula 8 pagi hingga 1 petang.
Konvensyen bersejarah ini akan menghimpunkan lebih 500 wakil NGO, pemimpin Melayu, serta pejuang hak bangsa bagi membincangkan isu-isu mendasar yang menyentuh Perkara 153, kedaulatan Melayu, kedudukan Raja-Raja serta masa depan negara.
Tan Sri Dr. Rais Yatim: “Masa depan Melayu tidak boleh lagi apologetik”
Tan Sri Dr. Rais menegaskan bahawa konvensyen ini penting bagi memperkukuh kefahaman mengenai Perkara 153 dan memastikan hak-hak Melayu tidak lagi dipinggirkan. Beliau menyeru masyarakat Melayu untuk hadir dan memberikan sumbangan idea:
“Kita tidak boleh lagi apologetik tentang hak-hak asas orang Melayu yang semakin tersisih. Konvensyen ini akan menegakkan kembali kuasa Raja-Raja Melayu serta masa depan bangsa di bawah payung Perkara 153.”
Bibi Sunita: “Orang Melayu perlu sedar ancaman semasa”
Wakil NGO Negarawati, Bibi Sunita pula menekankan keperluan memberi kesedaran kepada rakyat mengenai isu-isu semasa termasuk tuntutan luar yang boleh menjejaskan kedaulatan negara.
Beliau menegaskan:
Kita mesti ingat betapa sukarnya negara mencapai kemerdekaan. Kini ada pihak yang cuba mempersoal perlembagaan dan mengganggu kestabilan negara. Orang Melayu perlu bangkit, hadir, dan mendengar penjelasan mengenai isu-isu termasuk Art 2025 dan ancaman ketirisan.”
Datuk Marzuki: “Konvensyen ini platform penyatuan NGO Melayu”
Setiausaha Konvensyen, Datuk Marzuki menjelaskan bahawa konvensyen ini adalah wadah penyatuan NGO Melayu di bawah satu sekretariat yang kukuh.
“Kita akan menambah ahli jawatankuasa tertinggi bagi memperkuat gerak kerja. Ini usaha jangka panjang untuk menyelamatkan bangsa, agama dan negara.”
500 peserta dijangka hadir
Konvensyen Melayu 153 dijangka menjadi antara perhimpunan terbesar NGO dan pemimpin Melayu tahun ini, dengan fokus kepada isu kedaulatan, pendidikan, ekonomi, keselamatan serta ancaman geopolitik semasa.

Ulasan
Catat Ulasan