240 Pelajar Asrama Malaysia Disantuni Dalam Majlis Iftar, Perkukuh Perpaduan
KUALA LUMPUR, 16 Mac 2026 – Seramai 240 pelajar Program Asrama Malaysia (AMal) disantuni dalam Majlis Iftar anjuran Yayasan Global Mesra (YGM) dengan kerjasama Yayasan Muhibah Malaysia (YMM) serta Koperasi Khazanah Usahawan Berhad (KO-KHAWAN) di Saloma Kuala Lumpur, Jalan Ampang.
Program ini menghimpunkan pelajar daripada pelbagai kaum dan agama sebagai usaha memperkukuh semangat perpaduan nasional di peringkat sekolah, selaras dengan aspirasi Program Asrama Malaysia.
Majlis tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar menghayati nilai kebersamaan dan semangat berkongsi rezeki sepanjang Ramadan, malah membantu mereka yang berjauhan daripada keluarga merasai suasana berbuka puasa dalam persekitaran yang harmoni dan penuh keprihatinan.
Menurut Pengerusi KO-KHAWAN merangkap Naib Pengerusi YMM, Eng Yee Koon, Ramadan merupakan waktu terbaik untuk menyemai nilai ihsan, kasih sayang dan kebersamaan tanpa mengira latar belakang.
Beliau berkata, majlis seumpama ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim, malah menjadi simbol keharmonian apabila pelajar pelbagai kaum dapat duduk semeja berkongsi juadah berbuka puasa.
“Semangat ini turut mencerminkan nilai toleransi dan perpaduan yang perlu dipupuk sejak di bangku sekolah, sejajar dengan penghayatan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Majlis turut dihadiri beberapa tetamu kehormat termasuk Rosni Omar, Hasbullah Mohd Ali dan Shaharuddin Abu Sohot, selain wakil pelbagai agensi kerajaan dan sektor korporat.
Penganjur memaklumkan program seperti ini mencerminkan komitmen berterusan badan bukan kerajaan dan sektor swasta dalam memperkasa agenda perpaduan serta kebajikan pelajar melalui pendekatan inklusif.
Majlis berakhir dalam suasana penuh mesra dan diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif komuniti yang menyokong keharmonian serta perpaduan nasional pada masa hadapan.





Ulasan
Catat Ulasan