PUTRA KUTUK KERAS PEMBUNUHAN AYATOLLAH ALI KHAMENEI DAN SERANGAN BIADAB KE ATAS IRAN
PUTRA KUTUK KERAS PEMBUNUHAN AYATOLLAH ALI KHAMENEI DAN SERANGAN BIADAB KE ATAS IRAN
1. Saya Datuk Dr. Ibrahim Ali, bukan sekadar Presiden sebuah parti politik, tetapi seorang yang telah hidup, belajar dan menyaksikan sendiri denyut perjuangan umat Islam di pentas sejarah dunia, dengan tegas mengecam pembunuhan terhadap Pemimpin Tertinggi Republik Islam Iran, Ayatollah Ali Khamenei oleh serangan ketenteraan yang dilakukan oleh Israel dan Amerika Syarikat.
2. Peristiwa ini bukan sekadar operasi ketenteraan. Ia adalah tindakan ganas yang merobek asas diplomasi antarabangsa dan menghina kedaulatan negara berdaulat. Membunuh seorang pemimpin atas alasan geopolitik bukan sahaja melampaui batas undang-undang antarabangsa tapi ia memusnahkan asas moral kemanusiaan itu sendiri.
3. Apabila tiada lagi penghormatan terhadap kedaulatan, undang-undang, dan norma diplomasi, dunia akan jatuh kembali ke dalam alam hukum rimba, di mana siapa kuat, dia tentukan nasib negara lain.
4. Saya berdiri bukan atas retorik politik kosong, tetapi atas pengalaman langsung dalam hubungan umat Islam global. Pada Julai 2025, saya menunaikan solat berjemaah yang diimamkan sendiri oleh Ayatollah Ali Khamenei serta mendengar pidato beliau di Kompleks Masjid dan Makam Imam Ayatollah Khomeini sempena ulang tahun ke-37 penubuhan Republik Islam Iran di hadapan ratusan ribu umat Islam.
5. Kehadiran saya pada majlis bersejarah tersebut adalah atas jemputan rasmi Kerajaan Iran, bukan sebagai pemerhati asing, tetapi sebagai tetamu kehormatan yang dihormati atas hubungan sejarah yang terjalin sejak era Revolusi Iran.
6. Saya juga adalah saksi kepada lembaran sejarah yang mengubah dunia, saya pernah bertemu dengan Imam Ayatollah Khomeini di Paris, Perancis pada Disember 1979 ketika kemuncak Revolusi Iran. Saya menyaksikan bagaimana rakyat yang bersatu menuntut kebebasan, kedaulatan, dan harga diri mereka sendiri.
7. Dari pengalaman itu lahir keyakinan saya bahawa umat Islam bukan sekadar entiti geopolitik, tetapi sebuah tamadun yang berharga, berakar dalam sejarah, dan berpengaruh kepada hala tuju dunia.
8. Pembunuhan terhadap pemimpin sebuah negara berdaulat merupakan pelanggaran berat Piagam PBB, khususnya Artikel 2(4) yang jelas melarang ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap integriti dan kemerdekaan politik mana-mana negara. Ini bukan isu teoretikal tapi ini soal prinsip asas dunia yang adil dan aman.
9. Dunia kini menghadapi persimpangan sejarah. Adakah kita akan membiarkan keganasan ditormalisasikan?
10. Adakah kuasa besar akan terus bertindak sesuka hati tanpa menghormati kedaulatan negara lain?
11. Atau adakah dunia akan bangkit mempertahankan undang-undang antarabangsa dan martabat negara?
12. Parti Putra dan saya secara peribadi menyeru agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak tegas, agar Negara-Negara Islam melalui Kerjasama Islam (OIC) bersatu suara, dan agar semua pemimpin dunia memahami satu kebenaran abadi bahawa keamanan tidak pernah dibina di atas runtuhan kedaulatan negara lain.
13. Tindakan yang biadab ini bukan sahaja menggugat kedamaian Asia Barat, malah ia mencetus fenomena domino ketidakstabilan global yang akan merentasi sempadan ekonomi, sosial, dan keselamatan.
14. Keadilan tidak boleh ditegakkan dengan peluru berpandu. Keamanan tidak boleh dipaksa dengan bom. Keamanan sejati hanya wujud apabila setiap negara dihormati sebagai persisnya sebuah entiti berdaulat dengan suara, hak, dan martabat.
15. Kepada umat Islam seluruh dunia, kepada rakyat yang menginginkan keamanan, kepada generasi muda yang menolak kebencian, marilah kita berdiri teguh bersama prinsip kedaulatan, keadilan dan solidariti global.
16. Sebagai seorang tokoh yang menyusuri sejarah perjuangan ummah sejak dekad 1970-an sampai kini, saya menyeru agar kita tidak tunduk kepada budaya kekerasan, tetapi mengangkat martabat rakyat, agama dan tamadun kita di pentas dunia.
17. Cukuplah budaya kekerasan dalam geopolitik global. Cukuplah ketidakadilan mengetepikan suara negara kecil dan sederhana. Cukuplah kuasa besar menentukan hidup mati umat lain.
18. Keamanan sejati adalah hak semua bukan peluang sesetengah.
DATUK DR. IBRAHIM ALI
Presiden Parti PUTRA
1 Mac 2026

Ulasan
Catat Ulasan