Adat Dijunjung, Negeri Dilindungi: Seruan Muafakat Presiden KANU N9
Adat Dijunjung, Negeri Dilindungi: Seruan Muafakat Presiden KANU N9
SEREMBAN, 22 April — Presiden Persatuan Kenu Negeri Sembilan, Megat D. Shahriman Zaharudin, menyeru semua pihak agar bertenang dan mengutamakan permuafakatan dalam menangani isu semasa yang melibatkan institusi diraja negeri itu.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menyentuh mengenai isu yang hangat diperkatakan berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sambil menekankan kepentingan masyarakat untuk bermuhasabah diri serta tidak bertindak terburu-buru.
Menurut beliau, kekuatan Negeri Sembilan terletak pada prinsip muafakat yang menjadi teras adat, diibaratkan “bagai aur dengan tebing” yang saling memerlukan antara satu sama lain.
Beliau turut menyeru agar Undang Yang Empat bersama Tunku Besar Tampin dapat duduk semeja untuk berbincang secara terbuka dan mencari jalan penyelesaian terbaik demi kepentingan bersama.
“Utamakan adat, syarak serta kesejahteraan rakyat yang kita kasihi,” katanya, sambil berharap segala kekusutan dapat dirungkaikan secara bijaksana bagi memelihara maruah institusi diraja dan keharmonian negeri.
Kenyataan itu diakhiri dengan lafaz kesetiaan kepada institusi diraja serta harapan agar perpaduan dan kestabilan Negeri Sembilan terus terpelihara.

Ulasan
Catat Ulasan