PELANTIKAN KP SPRM BAHARU, JANGAN SEKADAR TUKAR ORANG, TUKAR SISTEM DAN LETAKKAN SPRM DI BAWAH PARLIMEN
PELANTIKAN KP SPRM BAHARU, JANGAN SEKADAR TUKAR ORANG, TUKAR SISTEM DAN LETAKKAN SPRM DI BAWAH PARLIMEN
Saya mengambil maklum pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu. Saya ucapkan tahniah kepada beliau. Namun rakyat mesti faham, isu pokok hari ini bukan sekadar siapa duduk di kerusi Ketua Pesuruhjaya SPRM. Isu pokok ialah sama ada SPRM benar-benar bebas atau masih berada dalam bayang-bayang kuasa politik.
2. Bagi PUTRA, pelantikan orang baharu tidak cukup jika sistem lama masih dikekalkan. Jangan hanya tukar nama di pintu pejabat, tetapi struktur kuasa masih sama. Jangan hanya tukar kepala, tetapi badan institusi masih terikat dengan kuasa Perdana Menteri.
3. SPRM mesti diletakkan di bawah Parlimen, bukan kekal berada di bawah pengaruh Jabatan Perdana Menteri atau PMO. Inilah janji reformasi yang pernah dilaungkan oleh Pakatan Harapan dahulu. Mereka bercakap tentang institusi bebas, semak imbang, ketelusan dan kuasa Perdana Menteri yang tidak boleh terlalu besar. Hari ini, apabila mereka sudah berada di Putrajaya, jangan pula janji itu menjadi kertas pembungkus politik.
4. Rakyat bukan bodoh. Rakyat boleh melihat. Bila kes melibatkan orang kecil, tindakan nampak pantas. Bila dakwaan menyentuh orang besar, orang dekat dengan kuasa, orang berprofil tinggi, tiba-tiba semua menjadi perlahan, senyap, kabur dan penuh alasan. Inilah persepsi yang mesti dipatahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.
5. Ujian pertama kepada KP SPRM baharu ialah keberanian beliau menangani kes-kes besar yang sedang bermain dalam fikiran rakyat. Antaranya isu pendedahan Albert Tei berkaitan dakwaan rasuah melibatkan wakil rakyat DUN Sabah. Isu ini bukan kecil. Ia sudah menjadi perhatian umum dan mesti dijawab dengan tindakan yang jelas, bukan sekadar kenyataan umum.
6. Rakyat mahu tahu status sebenar siasatan. Siapa telah dipanggil? Apa hasil forensik video? Kenapa sebahagian isu kelihatan panas sekejap kemudian hilang? Adakah semua yang disebut dalam dakwaan sudah disiasat secara adil? Atau ada nama tertentu yang tidak boleh disentuh kerana terlalu hampir dengan lingkaran kuasa?
7. KP SPRM baharu juga mesti menunjukkan ketegasan dalam isu dakwaan yang dikaitkan dengan Farhash Wafa Salvador dan video Sofia Rini yang tular, termasuk laporan polis yang telah dibuat oleh PUTRA. Saya tidak menghukum sesiapa bersalah. Tetapi apabila dakwaan berat melibatkan aliran wang besar, pengaruh politik dan individu berprofil tinggi, maka siasatan mesti dibuat secara terbuka, telus dan meyakinkan.
8. Prinsipnya mudah. Kalau dakwaan itu palsu, bersihkan nama mereka yang dikaitkan. Kalau ada asas, ambil tindakan tanpa memilih bulu. Tetapi jangan biarkan rakyat hidup dalam kabus. Negara tidak boleh ditadbir dengan budaya “senyap bila kena orang kita, bising bila kena orang lain”.
9. Saya juga mendesak KP SPRM baharu membuka semula kes-kes yang telah di-NFA atau ditutup dengan penuh tanda tanya. Mana-mana fail yang menimbulkan persepsi campur tangan, kelemahan siasatan, keputusan ganjil atau perlindungan politik mesti disemak semula. Ini bukan dendam. Ini soal memulihkan kepercayaan rakyat terhadap institusi.
10. SPRM tidak boleh menjadi tempat menyimpan fail panas sampai rakyat lupa. SPRM tidak boleh menjadi alat menakutkan lawan politik, tetapi kelihatan lembut apabila menyentuh rakan politik. SPRM mesti digeruni oleh semua perasuah, tidak kira baju parti, pangkat, jawatan, gelaran atau hubungan dengan Perdana Menteri.
11. PUTRA mencadangkan tiga tindakan segera. Pertama, kerajaan mesti membawa rang undang-undang meletakkan SPRM di bawah pengawasan Parlimen. Kedua, tubuh panel bebas menyemak semula kes-kes berprofil tinggi yang telah di-NFA atau tidak bergerak. Ketiga, umumkan status siasatan kes Albert Tei, isu video Sofia Rini dan dakwaan melibatkan individu berprofil tinggi secara berkala kepada rakyat.Ia juga termasuk dakwaan MAFIA KOPORAT DALAM SPRM yg di kaitkan dgn Tan Sri Azam Baki dan tuduhan saham milik nya.
12. Kalau kerajaan Madani benar-benar kerajaan reformasi, inilah masa membuktikannya. Jangan hanya berani bercakap reformasi ketika belum berkuasa, tetapi takut melaksanakan reformasi apabila sudah duduk di kerusi kuasa. Reformasi bukan slogan. Reformasi ialah keberanian memotong kuasa sendiri demi kepentingan negara.
13. Saya ulang dengan tegas, PUTRA tidak menentang pelantikan KP SPRM baharu secara peribadi. Tetapi PUTRA menolak budaya kosmetik politik. Negara tidak akan bersih hanya dengan ucapan tahniah, gambar rasmi dan kenyataan manis. Negara hanya akan bersih apabila institusi berani berdiri di atas undang-undang, bukan tunduk kepada politik.
14. Inilah ujian sebenar Datuk Seri Abdul Halim Aman. Sama ada beliau akan dikenang sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang memulihkan kepercayaan rakyat, atau sekadar menjadi satu lagi nama dalam senarai panjang ketua institusi yang masuk dengan harapan tetapi keluar dengan tanda tanya.
15. Rasuah bukan sekadar jenayah wang. Rasuah ialah kanser negara. Ia merosakkan ekonomi, menghina orang miskin, membunuh keyakinan rakyat dan menjadikan undang-undang seperti permainan orang kuat. Jika SPRM gagal bebas, negara gagal bersih.
16. Maka pendirian PUTRA jelas. Letakkan SPRM di bawah Parlimen.*Dan segerakan pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.Jgn berdalih utk lambat2kan Buka semula fail yang meragukan dan yg di NFA. Siasat semua dakwaan berprofil tinggi tanpa takut. Jika kerajaan benar-benar ikhlas melawan rasuah, buktikan sekarang. Jangan tunggu rakyat menghukum nanti.
DATO’ IBRAHIM ALI
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA)
27 April 2026

Ulasan
Catat Ulasan