Pemuda UMNO Selangor Kecam Ucapan ADN Seri Kembangan, Dakwa Biadap dan Cemar Institusi Diraja
Pemuda UMNO Selangor Kecam Ucapan ADN Seri Kembangan, Dakwa Biadap dan Cemar Institusi Diraja
SHAH ALAM, 23 April — Pemuda UMNO Selangor mengecam keras kenyataan yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan daripada DAP dalam sesi perbahasan Dewan Negeri Selangor, yang disifatkan sebagai biadap serta mengundang kemurkaan terhadap titah Sultan Selangor.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Ketua Pemuda UMNO Selangor, Dato’ Mohd Imran Tamrin berkata pihaknya menjunjung kasih titah ucapan DYMM Sultan Selangor yang disampaikan semasa Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor pada 20 April lalu, yang menurutnya sarat dengan pandangan, nasihat serta cadangan menyeluruh melibatkan pembangunan dan tadbir urus negeri.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius ucapan ADN Seri Kembangan pada 22 April yang menyentuh isu penternakan babi serta membuat perbandingan berkaitan kesamarataan di bawah Perlembagaan Persekutuan. Menurutnya, hujahan tersebut adalah tidak tepat dan gagal memahami kedudukan undang-undang termasuk peranan Sultan Selangor sebagaimana termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
Tambahnya, kenyataan itu juga dilihat seolah-olah mencabar serta mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung larangan penternakan babi di negeri berkenaan, sekali gus berpotensi menyinggung institusi diraja.
Pemuda UMNO Selangor turut merujuk kepada tindakan kerajaan negeri sebelum ini yang telah membatalkan projek penternakan babi di Bukit Tagar pada Januari 2026 serta menghentikan lesen dan menutup ladang-ladang babi pada Februari 2026, selaras dengan titah Sultan Selangor.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan ADN Seri Kembangan membangkitkan semula isu tersebut sebagai tidak wajar, lebih-lebih lagi dalam konteks perbahasan menjunjung kasih titah diraja.
Dalam pada itu, Pemuda UMNO Selangor menggesa ADN berkenaan agar segera menarik balik kenyataan yang dibuat dalam persidangan hari ini. Sekiranya gagal berbuat demikian, mereka mencadangkan agar wakil rakyat tersebut dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Selangor di bawah Peraturan Tetap 70(3) untuk tindakan lanjut.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa isu sedemikian tidak sepatutnya timbul dalam sebuah negeri yang berada di bawah naungan institusi Raja Melayu yang dijamin kedudukannya oleh Perlembagaan.

Ulasan
Catat Ulasan