PERKASA Persoal Kutipan Cukai Rekod, Dakwa Kebajikan Rakyat Terabai
PERKASA Persoal Kutipan Cukai Rekod, Dakwa Kebajikan Rakyat Terabai
KUALA LUMPUR, 26 April 2026 — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mempersoalkan keutamaan kerajaan susulan pengumuman kutipan cukai negara yang mencecah RM203.9 bilion, iaitu angka tertinggi dalam sejarah, ketika rakyat didakwa terus berdepan tekanan kos sara hidup.
Naib Presidennya, Irwan Fahmi Ideris, dalam satu kenyataan media berkata situasi tersebut menimbulkan ironi apabila peningkatan hasil negara tidak diterjemahkan kepada pengukuhan kebajikan rakyat, sebaliknya disusuli pelarasan tarif utiliti dan kemungkinan pengurangan subsidi.
Menurut beliau, peningkatan hasil sebanyak 10.38 peratus sepatutnya memberi ruang kepada kerajaan untuk memperkukuh perlindungan sosial, namun rakyat masih dihimpit dengan kenaikan tarif elektrik, harga air serta kebimbangan terhadap penarikan subsidi petrol.
PERKASA turut mempersoalkan pelaksanaan sistem percukaian yang disifatkan sebagai tidak benar-benar adil, apabila golongan berpendapatan sederhana (M40) dan rendah (B40) terus terkesan akibat peningkatan kos barangan susulan pelbagai pelarasan cukai termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Ironinya, kutipan meningkat tetapi kuasa beli rakyat semakin merosot,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kejayaan sesebuah kerajaan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah kutipan hasil semata-mata, sebaliknya perlu dilihat dari aspek peningkatan kualiti hidup rakyat.
PERKASA berpendapat tindakan membanggakan kutipan hasil tertinggi ketika rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup disifatkan sebagai tidak sensitif terhadap keadaan semasa.
Sehubungan itu, pertubuhan berkenaan menggesa kerajaan agar mengembalikan manfaat hasil negara kepada rakyat dalam bentuk bantuan dan subsidi yang lebih menyeluruh, bukannya sekadar retorik ekonomi.
“Cukuplah bermegah dengan angka, sebaliknya fokus kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.

Ulasan
Catat Ulasan