KRISIS PN: IBRAHIM ALI SERU HENTI PERPECAHAN, UTAMAKAN UMMAH
KRISIS PN: IBRAHIM ALI SERU HENTI PERPECAHAN, UTAMAKAN UMMAH
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali, menyeru semua pihak agar menghentikan perpecahan politik susulan keputusan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memutuskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau berkata, krisis yang berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) amat mendukacitakan dan tidak dijangka, lebih-lebih lagi ketika umat Melayu dan Islam berdepan pelbagai cabaran besar.
Menurutnya, PUTRA mengambil pendirian tidak mahu mengulas secara terperinci bagi mengelakkan sebarang tafsiran yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.
“Kita tidak mahu menjadi batu api atau dilihat sebagai hero di atas runtuhan persaudaraan ummah. Tiada makna kemenangan jika ia dibina atas perpecahan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ibrahim Ali menegaskan, PUTRA menghormati kedua-dua parti terbabit dan tidak memihak kepada mana-mana individu, sebaliknya kekal berpegang kepada prinsip organisasi.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya kembali kepada ajaran al-Quran yang menyeru umat Islam berpegang teguh kepada tali Allah dan tidak berpecah-belah.
“Dalam keadaan politik yang panas, terlalu ramai pihak yang mengambil kesempatan, termasuk pembodek dan mereka yang mencari habuan daripada krisis,” katanya.
Tambah beliau, politik seharusnya dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan integriti, bukan untuk meraih kepentingan peribadi atau populariti semata-mata.
Sehubungan itu, beliau berharap hubungan antara PAS dan Bersatu dapat dipulihkan demi masa depan umat dan negara.
“Kemenangan sebenar bukan sekadar dalam pilihan raya, tetapi mendapat keredaan Allah serta memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.
######
KENYATAAN MEDIA
DATO’ DR. IBRAHIM ALI
PRESIDEN PARTI BUMIPUTERA PERKASA MALAYSIA (PUTRA)
10hb Jun 2026
BERPEGANG TEGUHLAH DI TALI ALLAH DAN JANGAN BERCERAI BERAI
1. Saya di hubungi berberapa rakan media utk memberi ulasan mengenai keputusan Parti Pas memutuskan kerjasama politik dengan Parti Bersatu. Saya agak keberatan utk memberi respon atas beberapa sebab. Putra dan saya menaruh harapan yg tinggi kpd PERIKATAN NASIONAL yang diharap dapat kemenangan mengambil alih Kerajaan Persekutuan dari PH+BN yang terlalu banyak menimbulkan masaalah kepada rakyat dan negara. Dalam keadaan umat Melayu dan Islam sedang berdepan pelbagai cabaran besar dan mengharapkan PN lah menjadi wadah baru mentadbir negara selepas PRU 16 demi kelangsungan masa depan rakyat malaysia yang lebih baik, makmur dan sejahtera.
2. PUTRA dan saya amat dukacita atas krisis yg berlaku dalam PN dan tidak terduga sama sekali.Kami amat dukacita,sedih dan tidak akan memberi ulasan yang boleh menimbulkan berbagai tafsiran dan jauh sekali menjadi batu api untuk dilihat sebagai hero dan menambahkan lagi luka yg sudah parah. Tidak ada makna menjadi hero di atas runtuhan persaudaraan Melayu dan ummah. PUTRA tidak mahu ada saham dalam kerja yang dilarang oleh Allah, iaitu membantu perpecahan yang akhirnya melemahkan umat sendiri.Putra amat menghormati Pas dan Bersatu sebagai Parti dan tidak memihak kepada mana-mana individu kepimpinan demi menjaga perasaan semua pihak dan memegang teguh prinsip berorganisasi dan bukan memuja mana-mana pemimpin atau individu. Saya belajar kepahitan dari penglibatan sejarah lampau yang banyak memberi pengajaran. Putra menyertai IPR juga atas semangat berorganisasi.
3. Allah SWT telah mengingatkan kita dalam al-Quran: “Berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai.” Ayat ini bukan sekadar dibaca dalam ceramah, tetapi wajib dijadikan pedoman dan dihayati apatah lagi ketika politik sedang panas, emosi sedang tinggi dan terlalu ramai batu api, pembodek-pembodek yang cari makan dan dapat habuan dari krisis yang berlaku. Inilah budaya yang berlaku dalam politik bila ada krisis.
4. Putra dan saya tidak mahu menjadi hakim kepada PAS atau Bersatu.Putra Parti kecil dan tidak ada hasrat mengajar itik berenang. Kedua-dua parti amat kami hormati dan rapat hubungan serta mesra dengan semua pemimpin-pemimpinnya. Saya yang kerdil ini sejak berada dalam gelanggang perjuangan politik selalu berdoa dan menyeru semua pihak supaya meletakkan kepentingan ummah, Melayu, Islam dan negara lebih tinggi daripada kepentingan diri kalau kita benar-benar berjuang kerana Allah demi rakyat dan negara. Kita yang merupakan rumput atau kepimpinan kecil, bila gajah sama gajah berlaga, maka kita akan terpijak jika tidak hati-hati. Sebab itu saya lebih bersandarkan kepada organisasi daripada individu dan tidak juga saperti barua-barua yang sibuk mencampuri urusan yang tidak ada kena mengena atau dalam kepimpinan organasasi berkenaan demi mencari segumpal hadiah atau kedudukan. Mereka tidak peduli lagi yang bathil atau kebenaran tetapi mengipas pemimpin agar api semakin menjadi panas.
5. Politik yang telus ialah politik yang mahu dilihat oleh Allah, bukan sekadar mahu dilihat hebat oleh manusia. Sebab itu PUTRA dan saya yang pernah tempuh dengan banyak pengajaran sebelum ini memilih jalan berhati-hati, tidak angkuh menepuk dada, tidak menyemarakkan api perpecahan dan tidak mencari keuntungan politik daripada luka sesama umat.
6. Saya dan Putra berdoa dan amat berharap hubungan yang retak antara Pas dan Bersatu ini tidak dibiarkan menjadi putus selama-lamanya. Air dicincang tidak akan putus. PAS dan Bersatu masih mempunyai ruang untuk mencari titik pertautan ukhuwah, jika semua pihak kembali kepada Al Quran dan merendahkan ego, memperbetulkan niat dan mengutamakan masa depan umat.
7. Kemenangan politik yang dibina di atas kebatilan perpecahan tidak akan membawa keberkatan. Yang kita cari bukan sekadar menang pilihan raya, tetapi redha Allah dan keselamatan umat.Kembalilah kepada Silaturahim untuk membina kekuatan ummah dan mendirikan syariat Islam, Kepimpinan yang bersih, akhlak yang mulia dan benar- benar berintergriti demi seluruh rakyat Malaysia.
Dato’ Dr. Ibrahim Ali
Presiden Parti PUTRA
10 Jun 2026

Ulasan
Catat Ulasan